Rugi RM210,600 ditipu sindiket skim bantuan sara hidup Covid-19 - Utusan Malaysia

Rugi RM210,600 ditipu sindiket skim bantuan sara hidup Covid-19

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Suri rumah mengambil masa dua bulan untuk membuat laporan polis selepas ditipu sindiket skim bantuan sara hidup Covid-19 pada Ogos hingga November tahun lalu melibatkan kerugian RM210,600. 

Mangsa berusia 58 tahun yang juga pesara swasta itu membuat laporan polis di Balai Jalan Patani di sini kelmarin selepas menyedari bantuan wang yang ditawarkan bernilai AS$100,000 (RM404,250) tidak diterimanya sehingga tahun ini. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa  diperdaya suspek dalam urusan permohonan bantuan sara hidup Covid 19 melalui mesej Facebook mengunakan halaman ‘Covid-19 United Nation Grant Fund Relief’ yang disyaki tidak wujud. 

Menurutnya, mangsa memaklumkan telah melayari laman tersebut kira-kira pukul 10.34 malam 17 Ogos tahun lalu  selepas seorang rakannya memaklumkan mengenai perkara tersebut. 

Ujar beliau, mangsa memohon bantuan itu untuk mendapatkan duit membeli rumah dan perbelanjaan harian kerana suaminya seorang orang kurang upaya (OKU) dan tidak bekerja. 

“Mangsa kemudiannya diminta seorang lelaki (suspek) untuk mengisi borang permohonan skim tersebut dan menghantar butiran peribadi seperti kad pengenalan dan maklumat akaun miliknya. 

“Suspek juga meminta pengadu untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,000 bagi semua urusan fail atau kertas kerja untuk permohonan dan insurans skim berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut beliau, mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM210,600 secara berperingkat iaitu sebanyak 12 kali transaksi ke lima akaun yang berbeza menerusi mesin deposit tunai dan di kaunter bank  dari 18 Ogos hingga 17 November tahun lalu. 

Bagaimanapun, katanya, suspek tidak lagi menghubungi mangsa sejurus wang tersebut dimasukkan ke akaun-akaun berkenaan. 

Tambah beliau, semakan lanjut polis mendapati semua akaun bank yang digunakan suspek terlibat  dalam lima kes penipuan lain di Selangor, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya