KUANTAN: Lesap RM81,133 gara-gara dihubungi ‘Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)’, ‘Sarjan Shahrizan Mansor’ dan ‘Inspektor Azman’.
Demikian malang menimpa seorang guru di Lipis dekat sini selepas diperdaya sindiket Macau Scam.
Guru perempuan berusia 35 tahun itu dihubungi wanita menyamar sebagai pegawai LHDN pada Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek menuntut mangsa membayar tunggakan cukai berjumlah RM38,600.
“Suspek mendakwa mangsa tidak bayar cukai perniagaan. Mangsa menafikan kerana tidak memiliki perniagaan namun talian telefon disambungkan kepada beberapa individu berlainan.
“Talian disambung pula kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Shahrizan Mansor kononnya dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, talian sekali lagi disambung kepada ‘Inspektor Azman’ yang memaklumkan guru itu disiasat kerana terlibat jenayah pengubahan wang haram.
“Suspek menawarkan jalan penyelesaian kes dan meminta mangsa memuat turun aplikasi yang berkaitan maklumat akaun bank. Selepas semua maklumat bank dimasukkan ke dalam aplikasi itu, mangsa menyemak nombor telefon yang digunakan suspek melalui aplikasi WhoCall dan mendapati ia adalah scammer,” katanya.
Jelas beliau, mangsa panik lantas cuba mengakses akaun bank secara dalam talian, namun telah disekat.
Beliau menambah, mangsa kemudian membuat semakan akaun bank melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dimaklumkan terdapat transaksi pemindahan wang telah dilakukan.
Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Benta, Lipis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE