PUTRAJAYA: Sejumlah RM66 juta peruntukan tambahan akan diberikan kepada pemain-pemain industri pengangkutan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada 14,000 pemandu pelancong, 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Katanya, mereka akan menerima faedah bantuan itu melalui bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM500.
“Para pemohon boleh membuat permohonan masing-masing menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sehingga kini, rekod terdahulu menunjukkan terdapat kira-kira 600 pemohon yang layak tetapi masih belum berdaftar dengan APAD, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan dibuat, bagaimanapun maklumat lanjut akan diberitahu oleh APAD dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Di samping itu, Ka Siong berkata, skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi juga akan diperkenalkan oleh syarikat jaminan pinjaman perniagaan.
“Sebanyak 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
“Ia bagi membolehkan pengusaha bas dan teksi menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
“Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama lima tahun, berbanding tujuh tahun sebelum ini.
“Syarat yang dilonggarkan ini akan bermula 1 Januari hingga 31 Disember depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE