RM5 juta bantuan MAIWP mangsa banjir - Utusan Malaysia

RM5 juta bantuan MAIWP mangsa banjir

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak RM5 juta jumlah keseluruhan bantuan diagihkan Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada mangsa banjir di empat negeri iaitu Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan itu melibatkan kebersamaan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa agama negeri dan agensi-agensi mengurus zakat negeri.

Beliau berkata, setiap negeri berkenaan menerima RM1.25 juta terdiri daripada RM250,000 bagi membiayai kelengkapan masjid dan surau yang terjejas akibat bencana alam itu.

Menurut beliau, bantuan itu disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri berkenaan yang turut meliputi sebanyak RM 1 juta untuk barangan keperluan mangsa banjir seperti alas tidur, dapur memasak, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi dan telekung.

“Bantuan ini disampaikan oleh pihak yang dilantik oleh MAIWP kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkenaan pada tarikh dan lokasi yang akan ditentukan.

“Mewakili MAIWP, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana dengan pembayaran zakat anda, MAIWP berjaya melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan di luar sana. Anda adalah hero asnaf sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau sendiri akan memastikan bantuan tersebut diagihkan seadilnya agar dapat meringankan beban mangsa banjir di empat negeri itu.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Johor, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu atas komitmen berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya