KOTA BHARU: Dia diuji dengan pelbagai masalah kesihatan, namun, kekangan itu sedikit pun tidak melunturkan semangat seorang gadis cacat penglihatan, Norhanis Mohamad, 17, mahu belajar di sekolah sebagaimana remaja seusianya.
Selain tidak boleh melihat, Norhanis dari Kampung Biah Perol di sini juga menderita sakit buah pinggang kronik, penyakit saraf serta darah tinggi yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri.
Ibunya, Asmiza Mustapha, 45, berkata, hatinya hiba mendengar rayuan anak keempat daripada lima beradik itu yang mahu ke sekolah tetapi tidak kesampaian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa ketika ini.
“Anak saya baru memulakan persekolahan tahun lalu di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kadok dan mula mengenal huruf tetapi tidak lama kemudian negara dilanda wabak Covid-19 dan PKP dikuat kuasa.
“Dia sangat minat membaca, tetapi sekarang tidak boleh belajar dengan komputer biasa atau telefon pintar berikutan kedua-dua matanya tidak mampu melihat dengan jelas kerana masalah saraf,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Asmiza memberitahu, keadaan kesihatan Norhanis merosot sejak berusia empat tahun dan ketika anaknya itu mencecah usia sembilan tahun, dia dan suami Mohamad Jaafar, 49, terpaksa berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) membawa Norhanis bagi menjalani dialisis.
“Setiap seminggu, dia perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali, dan setiap sesi memakan masa empat jam.
“Sehingga usianya 12 tahun, Norhanis boleh lagi melihat, tetapi selepas itu saraf matanya semakin rosak hingga penglihatannya terjejas, selain hanya mampu mengengsot dan kerap mengalami sawan,” katanya.
Kata Asmiza, pihak hospital kini sedang mencari buah pinggang baharu untuk Norhanis namun masih belum menemui penderma yang sesuai.
“Saya sendiri mahu menjadi penderma tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai masalah berat badan. Saya berharap ada pihak yang sudi membantu anak saya ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada akaun Bank Simpanan Nasional 0302141000076913 atas nama Asmiza Mustapha atau boleh menghubunginya di talian 013-5685854. -UTUSAN ONLINE