Rayuan Anwar batal saman pemula 28 Julai - Utusan Malaysia

Rayuan Anwar batal saman pemula 28 Julai

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Julai ini bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pengampunan yang diberikan kepada beliau terhadap sabitan dan hukuman penjara dalam kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Rayuan itu berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman pemula seorang peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang tidak berpuas hati dengan pengampunan penuh yang diberikan kepadanya.

Pada hari yang sama, Mahkamah Rayuan turut akan mendengar rayuan Lembaga Pengampunan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Tarikh tersebut ditetapkan pada sesi pengurusan kes yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar, Radzilawatee Abdul Rahman secara dalam talian menerusi sistem e-Review hari ini. Peguam J. Leela mewakili Anwar manakala Datuk M. Reza Hassan mewakili Mohd. Khairul Azam.

Pada 21 September tahun lalu, Hakim Datuk Akhtar Tahir menolak permohonan Anwar dan permohonan serupa daripada Lembaga Pengampunan selepas memutuskan Mohd. Khairul Azam mempunyai locus standi memulakan saman itu kerana beliau orang awam dan pihak yang berkelayakan sebagai peguam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memfailkan permohonan membatalkan saman pemula pada 13 Mei tahun lalu atas alasan antara lain saman pemula itu adalah remeh, memalukan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Mohd. Khairul Azam dalam saman pemula itu mendakwa pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bercanggah dengan Perkara 42 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan fakta bahawa pengampunan yang diperkenan oleh Agong hendaklah atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Mohd. Khairul Azam mendakwa, walhal lembaga itu belum dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan pembentukan kerajaan baharu.

Beliau juga mendakwa susulan pilihan raya itu, beberapa tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan yang membawa kepada pembebasannya dari penjara.

Anwar telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dan sabitan serta hukuman itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN