KUALA TERENGGANU: Bapa kepada pelajar pintar yang kesempitan wang untuk membayar yuran kemasukan anaknya ke Kolej Genius Insan (KGI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia membantu mereka.
Mohamad Yong Awang, 61, berkata, laluan anaknya untuk menyambung pengajian ke institusi berprestij itu cerah kerana ramai pihak yang mahu menghulurkan sumbangan bagi memastikan Muhammad Mu’az Zhofri, 13, dapat mendaftar pada 17 Februari depan.
Katanya, selain pihak Yayasan Terengganu dan wakil rakyat negeri, beberapa kenamaan dan individu berpengaruh dari luar Terengganu turut menyatakan kesudian membantu meringankan bebanannya.
“Seawal pukul 9 pagi ini saya menerima banyak panggilan telefon daripada individu termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah di samping rakan-rakan sekolah semasa belajar di Kolej Islam Klang.
“Saya terharu dan berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia untuk membantu anak saya. Ada seorang penyumbang bergelar Datuk dari Kuala Lumpur menasihatkan saya agar jangan mensia-siakan peluang Mu’az (Muhammad Mu’az Zhofri) ke KGI kerana ramai yang mengimpikan untuk belajar di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan keresahan keluarga Muhammad Mu’az Zhofri dari Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini yang kesempitan wang untuk membiayai yuran pengajian pelajar itu ke KGI selepas lulus ujian kelayakan yang dikategorikan pintar oleh institusi tersebut.
Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Nilam di Kuala Terengganu itu perlu melunaskan yuran sebanyak RM1,660 bagi sesi pendaftaran pada 17 Februari depan.
Sementara itu, Muhammad Mu’az Zhofri akan menerima bantuan menerusi Tabung Kebajikan Murid, Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pengarahnya, Dr. Hayati Ismail berkata, tabung berkenaan yang diwujudkan pada tahun lalu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan, terutama dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40).
“Pelajar berkenaan akan menerima bantuan yuran, wang saku setiap bulan, bantuan pembelian pakaian sekolah dan alat tulis serta wang bantuan perjalanan untuk ke KGI dari tempat tinggalnya di Terengganu.
“Pihak KGI telah menghubungi ibu bapa pelajar tersebut pada 25 Januari lalu untuk memaklumkan bantuan yang akan diberikan dan sehingga hari ini pihak kolej masih lagi berhubung dengan keluarga pelajar berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE