ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah perlu bertindak lebih proaktif bagi membantu rakyat dengan mengumumkan pakej bantuan segera kepada golongan memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Jumaat lalu hingga 4 Februari depan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohammed Firdaus Johari berkata, sehingga kini, rakyat masih ternanti-nanti pengumuman mengenai pakej bantuan tersebut bagi meringankan beban mereka.
“Malangnya hingga hari ini, tiada sebarang pengumuman bantuan untuk rakyat Kedah dalam tempoh PKP yang bermula semalam. Lebih menyedihkan, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor lebih menumpukan untuk tidak memberi cuti Thaipusam berbanding isu yang sepatutnya diberi keutamaan.
“Sepatutnya langkah lebih proaktif dan prihatin perlu diambil bagi membantu rakyat dengan meluluskan peruntukan khas pakej bantuan rakyat. Langkah itu penting bagi melancarkan aliran tunai serta mengurangkan impak terpaksa ditanggung rakyat di sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohammed Firdaus menambah, kerajaan negeri dalam masa sama perlu mengenal pasti kumpulan sasar yang layak menerima manfaat pakej bantuan tersebut.
“Antaranya mereka yang patut menerima manfaat itu adalah peniaga dan penjaja berlesen, pengusaha kantin sekolah, penoreh getah, pesawah, petani, nelayan serta ahli keluarga mahu pun kontak rapat pesakit Covid-19 yang terpaksa dikuarantin di rumah.
“Selain itu, pastikan juga golongan B40 serta M40 berkelayakan, menerima bantuan bakul makanan. Para pelajar yang tidak mempunyai sebarang peranti bagi mengikut pembelajaran secara dalam talian, turut perlu diberi perhatian,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE