PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi jaminan rakyat negara ini akan menerima dua kali dos vaksin Covid-19, dan bukannya sekali itu sahaja.
Langkah itu ujarnya, sejajar dengan saranan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam supaya suntikan vaksin tersebut perlu diberikan sekali lagi selepas tiga minggu.
“Jumlah bekalan yang kita bakal terima pada peringkat pertama bulan depan memang sudah pun mengambil kira keperluan untuk dos kali kedua setelah habis tempoh 21 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Malaysia Grand Challenge dengan peruntukan dana sebanyak RM220 juta di kementeriannya di sini hari ini.
Semalam, pengeluar vaksin itu, Pfizer dan BioNTech menerbitkan amaran bahawa setiap individu perlu menerima dua kali suntikan untuk mendapat hasil berkesan bagi mengekang penularan Covid-19.
Kerajaan Malaysia sebelum itu dilapor memperuntukkan RM2.05 bilion untuk keperluan sejumlah 26.5 juta rakyatnya menerima imunisasi vaksin berkenaan pada sepanjang tahun ini.
Menerangkan lebih lanjut, Khairy berkata, polisi kerajaan setakat ini adalah jelas iaitu sesiapa yang sudah disuntik, maka satu dos lagi akan disimpan untuk proses inokulasi kali kedua pula.
“Kementerian Kesihatan sendiri pun mencadangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin agar ada simpanan stok dan tidak perlu tunggu lama bagi penghantaran bekalan baharu,” katanya.
Menyentuh isu tawaran vaksin Sputnik V keluaran dari Rusia, beliau berkata, kerajaan masih lagi dalam proses rundingan, namun, menyifatkan cadangan itu amat menarik kepada negara.
Ini kerana ujar Khairy, Rusia bukan sekadar menjual vaksin Covid-19, malahan menawarkan program pemindahan teknologi penyelidikan dan pembangunan dalam jangka masa panjang.
“Pelaburan negara itu termasuk membantu pihak pengeluar farmaseutikal tempatan untuk program pembuatan pelbagai jenis vaksin supaya kos harganya dapat dikurangkan lagi,” jelas beliau.
Ditanya mengenai adakah kerajaan akan mewajibkan semua rakyat disuntik vaksin Covid-19, beliau secara peribadi berkata, setakat ini belum sampai peringkat diwartakan undang-undang.
Sebaliknya kata beliau, keutamaan akan diberi kepada yang sukarela berminat kerana jika diwajibkan secara mandatori, ia dibimbangi mencetuskan kemarahan terutama dari golongan antivaksin.
“Pendekatan lebih bersifat kesedaran dan pendidikan kerana kita mahu rakyat yang enggan terima vaksin itu akhirnya yakin faedah imunisasi ini untuk melindungi diri mereka,” tambahnya.
Kabinet kata Khairy, juga akan memutuskan kaedah bersesuaian bagi rakyat yang mahu divaksin termasuk cara pendaftaran, lokasi pusat imunisasi dan latihan staf terlibat program itu. -UTUSAN ONLINE