PASIR SALAK: Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan menghantar lebih 1,000 sukarelawan di beberapa lokasi terjejas banjir di seluruh negara bagi memudahkan usaha membersihkan kediaman pasca banjir.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, usaha yang dilakukan Puteri UMNO itu bertujuan berkongsi kesusahan dan meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah selain memudahkan mangsa untuk kembali ke kediaman masing-masing yang terjejas akibat banjir.
“Kita tahu sekarang banyak negeri yang dilanda musibah banjir.
“Kita harap bantuan dan sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak membantu bukan hari ini sahaja, tapi juga akan datang, berkongsi apa yang boleh.
“Yang paling penting, emosi mangsa juga berada dalam keadaan sangat sedih, mungkin kehadiran kita akan dapat menceriakan mereka di samping membantu meringankan bebanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan melawat mangsa banjir di Dewan Serbaguna Chikus dekat sini hari ini.
Zahida berkata, di kawasan yang terjejas di Pasir Salak, Puteri UMNO bahagian meringankan beban dengan menghantar bantuan keperluan asas dan bantuan kewangan kepada mangsa yang terjejas.
“Dua hari lepas kami sudah pergi ke Maran, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan meninjau keperluan mangsa banjir.
“Kelmarin kami di Johor Tenggara dan juga Kota Tinggi. Kita doakan semua mangsa kuat dan tabah hadapau dugaan. Ini ujian awal tahun dan tidak siapa sangka awal permulaan tahun ditimpa musibah begini.
“Saya harap semua kuat semangat dan didoakan semoga banjir surut dan pulih dipermudahkan semua urusan mereka untuk pulang ke rumah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap semua ahli Puteri UMNO di kawasan terjejas dapat terus turun menghulurkan bantuan dan tenaga membantu mangsa yang terlibat.
“Puteri UMNO akan sentiasa prihatin dan kami sentiasa ambil peduli masalah dihadapi rakyat serta kita akan membantu sebaik mungkin,” katanya. -UTUSAN ONLINE