KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ligat mencari rezeki dengan cara menerima tempahan membuat pulut panggang atau pulut ‘lepa’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa di Kelantan sejak Sabtu lalu.
Wan Hasmah Wan Mamat, 71, mengambil tempahan membuat pulut itu daripada penduduk kerana kedai makan miliknya di Kampung Parit, di sini terpaksa ditutup ekoran kekurangan pelanggan sejak PKP.
Kata Wan Hasmah, dia tidak menyangka pulut buatannya itu laris dijual dan kini dia memerlukan empat kilogram beras pulut setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kuih tradisional ini jarang dibuat oleh golongan muda kerana cara pembuatannya agak rumit.
“Beras pulut yang digunakan perlu dikukus sebanyak dua kali bagi menjadikannya lebih tahan lama sebelum ia digaul bersama santan dan gula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut ibu kepada enam anak berusia antara 34 hingga 56 tahun itu berkata, pulut yang sudah dimasak akan dibungkus dengan daun pisang dan dimasukkan inti serondeng ikan sebelum ia dipanggang.
Ujarnya, pulut panggang hanya boleh dibalut dengan daun pisang benggala sahaja kerana ketahanannya selain ia tidak mudah pecah ketika dipanggang di atas api.
“Ada pelanggan yang membuat tempahan menerusi telefon atau datang sendiri ke kedai saya.
“Pulut panggang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat di Kelantan dan Terengganu kerana keenakan terletak pada intinya. Kita boleh menggunakan serondeng ikan dan daging ditambah pula dengan kelazatan pulutnya yang lembut,” katanya. – UTUSAN