PASIR SALAK: UMNO hanya akan bekerjasama dengan Pas dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tanpa membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, dasar itu adalah selaras dengan kerjasama yang termeterai melalui ikrar Muafakat Nasional (MN) pada 2019.
Menurutnya, perkara itu diikrarkan ketika pertama kali UMNO dan Pas bersama pada 2018 sebelum MN dibentuk.
“Kita sebagai rakan sekutu (UMNO dan Pas) tidak akan bertembung dan akan bekerjasama (dalam pilihan raya).
“Saya beri pengakuan UMNO akan tetap setia dengan Pas, setia dengan perjanjian kerjasama yang ditandatangani dan ditetapkan, saya harap dan menyeru Pas supaya sama-sama berpegang kepada ikrar dan janji supaya senang kita bekerja.
“Kita yakin dan percaya mengikut apa yang dibuat sebelum ini iaitu kerjasama Pas dan UMNO akan memberikan kemenangan yang besar kepada kita dan boleh bentuk kerajaan yang baharu (selepas PRU-15),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak di Pekan Rabu Chenderong Balai dekat sini semalam. – UTUSAN ONLINE