PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mula memperluaskan kawasan untuk Program Pengedaran Barang Perlu sepanjang 2021.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah mengenal pasti 137 kawasan pengedaran baharu untuk tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM200 juta.
“Peruntukan kali ini naik 33 peratus berbanding RM150 juta pada 2020 dan membolehkan pelaksanaan diperluaskan ke kawasan baharu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ini ujarnya, termasuk Terengganu dan Pahang terutama pulau terpencil seperti Tioman, Perhentian dan Redang, selain beberapa lagi kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Program itu yang juga meliputi Community Drumming telah dilaksanakan sejak 2009 bagi bantu masyarakat luar bandar mampu membeli tujuh barangan asas pada harga yang rendah.
Ia melibatkan beras, gula, tepung, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan minyak diesel yang sebelum itu dijual pada harga mahal ekoran masalah kos pengangkutan agak tinggi.
Keadaan itu jelas Alexander, disebabkan jarak jauh dan pembekal perlu melalui jalan yang sukar selain faktor kemudahan prasarana perhubungan kurang baik dan bentuk muka bumi.
“Khidmat pengedaran dibuat oleh transporter atau pengangkut yang dilantik dan membeli bekalan dari pembekal di bandar sebelum dihantar kepada Point of Sales (POS),” katanya.
Pihak POS di kawasan pengedaran itu tambah beliau, seterusnya jual barangan tersebut kepada penduduk sekitar pada harga dikawal, sekali gus meringankan beban masyarakat.
Bagaimanapun katanya, pelantikan syarikat transporter tambahan bagi tahun ini hanya dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan Kementerian Kewangan.
Tatacara perolehan mengambil prinsip tender terbuka dengan iklan tawaran bagi pelawa syarikat berkelayakan untuk memohon dan proses lantikan dijangka selesai pada April depan.
“Namun, demi elak bekalan terputus sementara menunggu pelantikan syarikat baharu, pihak kementerian bersetuju melanjutkan kontrak transporter sedia ada hingga 30 April,” katanya.
Bahkan kata Alexander, arahan kepada 151 syarikat yang disambung kontrak pengedaran itu telah dikeluarkan oleh kementerian untuk perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa bekalan untuk tujuh keperluan itu akan dapat diteruskan kepada penduduk terlibat menerusi pelanjutan kontrak transporter yang sedia ada ini.
Kementerian tersebut ujar beliau, berharap program sejak 12 tahun itu menolong penduduk pedalaman bagi mengharungi waktu sukar dalam menghadapi penularan wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE