KUALA LUMPUR: Presiden parti adalah institusi tertinggi dan mana-mana individu yang menjawat jawatan itu perlu dipertahankan.
Itu kenyataan tegas dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Rizam Ismail mempertahankan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dicadang sekali lagi berehat oleh Ketua Pemuda UMNO bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang.
Rizam berkata, dalam keadaan politik tidak stabil dan ekonomi yang tidak menentu, pemimpin di peringkat bahagian tidak patut mengeruhkan lagi keadaan dengan memusnahkan ‘rumah’ sendiri dari dalam.
“Ini bukan masanya untuk kita berpecah-belah dan berantakan sesama sendiri. Sebaliknya, kita sebagai pemimpin di bahagian perlu tunjuk contoh yang baik kepada akar umbi.
“Sebagai pemimpin yang matang kita perlu menyeru kepada ahli-ahli agar merapatkan saf dan bersatu padu di belakang pemimpin utama kita iaitu Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Mohd. Helmi meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat.
Beliau berkata, pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman dan langkah berundur perlu turut sama dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan kepemimpinan tertinggi.
Mohd. Helmi menegaskan, beliau tetap dengan pendiriannya dan rela menerima tindakan daripada pucuk pimpinan berhubung desakan itu.
Dalam pada itu. Rizam menambah, UMNO mempunyai disiplin parti yang perlu diikuti oleh ahlinya
Jelasnya, medan untuk memilih pemimpin pula diputuskan melalui Pemilihan UMNO.
“Oleh itu, sebagai ahli UMNO yang mendukung perlembagaan parti perlulah jadikan Pemilihan UMNO ini sebagai medan memilih pemimpin. Bukannya dengan mendesak meletakkan jawatan atau berehat jika kepentingan kita tidak dituruti,” jelasnya. – UTUSAN