Polis siasat doktor wanita palsu dokumen pesakit - Utusan Malaysia

Polis siasat doktor wanita palsu dokumen pesakit

MOHD. ROSNI MOHD. LAZIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis sedang menyiasat seorang doktor wanita dari sebuah hospital kerajaan di negeri ini yang disyaki memalsukan dokumen rekod pesakit, tuntutan insurans dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Ketua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berlaku daripada seorang pegawai atasan hospital berkenaan 20 Januari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihaknya telah merampas beberapa dokumen di kediaman suspek wanita berusia 37 tahun itu di Kulim, Kedah sebaik sahaja laporan diterima.

“Suspek kini masih bertugas di hospital berkenaan dan laporan dibuat selepas pegawai atasan terbabit menerima laporan seorang doktor lelaki yang menemukan dokumen menggunakan tanda tangan serta cop rasmi miliknya pada 30 Disember tahun lalu.

“Siasatan polis mendapati, kejadian ini melibatkan dua mangsa iaitu doktor ortopedik yang masing-masing bertugas di hospital sama dengan suspek manakala seorang lagi doktor wanita yang telah bertukar ke Sibu, Sarawak pada 2017,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati suspek terbabit dikatakan menggunakan tandatangan dan cop milik kedua-dua mangsa terbabit untuk tujuan memalsukan masing-masing empat dan tiga dokumen rekod pesakit, tuntutan insurans serta Perkeso.

“Kita percaya, dia (suspek) memperoleh faedah bagi tuntutan Socso dan insurans tersebut. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan ke atas suspek.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti individu yang namanya tertera pada dokumen tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya