KOTA BHARU: Polis Kelantan menempatkan anggota polis dan kenderaan unit peronda (MPV) di luar 175 sekolah di seluruh negeri ini sebagai langkah untuk memastikan para pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota polis akan memantau pergerakan pelajar ketika keluar dari pekarangan sekolah dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang gagal mematuhi SOP.
“Berdasarkan pemerhatian, ada pelajar yang terus menanggalkan pelitup muka tanpa menghiraukan SOP yang ditetapkan sebaik sahaja mereka keluar dari sekolah.
“Kita juga akan memastikan mereka tidak berkumpul beramai-ramai di luar pekarangan sekolah sebaik sahaja sesi persekolahan tamat setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena Program First Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dan Pengetua SMK Pengkalan Chepa 1, Un Mat.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafien memaklumkan pihaknya menerima sebanyak lebih 52,000 permohonan rentas negeri dan daerah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini pada 16 Januari lalu.
Katanya, majoriti permohonan diterima membabitkan individu yang bekerja sendiri atau mereka yang bekerja menghantar makanan secara persendirian.
“Kita akan berikan kebenaran sekiranya mereka mengemukakan surat majikan atau dokumen berkaitan dengan alasan munasabah,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, setakat ini 19 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri sudah memadai dan pihaknya tidak bercadang menambah lebih banyak SJR.
“Sejak kebelakangan ini, tahap kepatuhan rakyat Kelantan terhadap SOP dan PKP semakin meningkat dan kita harap perkara ini berterusan supaya kita dapat kurangkan kes Covid-19 di Kelantan dan seluruh negara,” katanya. – UTUSAN