ISKANDAR PUTERI: Polis daerah ini mengenal pasti kawasan titik panas (hotspot) yang digunakan oleh kenderaan perdagangan untuk membawa muatan berbahaya bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik membuat rondaan penguatkuasaan bermula kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Katanya, antara lokasi rondaan adalah di kawasan Kampung Tiram Duku, Tanjung Kupang, Jalan Tebing Runtuh, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Nusa Sentral.
“Beberapa lokasi yang kerap berlaku pelanggaran undang-undang oleh kenderaan perdagangan telah dikenal pasti di sekitar daerah ini.
“Dalam operasi itu, polis berjaya menjejaki pemandu lori yang cuba mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu dengan membawa muatan secara berbahaya bagi mengelak aktiviti dihidu oleh pihak penguat kuasa.
“Sepanjang operasi tersebut, sebanyak lima buah lori yang membawa muatan secara berbahaya telah berjaya ditahan dan 12 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, tindakan berbahaya tanpa mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain demi keuntungan perniagaan adalah antara kesalahan yang diberi perhatian serius oleh pihaknya.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dalam menangani kesalahan lalu lintas bagi menurunkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang jalan raya.
“Justeru, polis berharap agar kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas dapat dipertingkat khususnya di kawasan daerah Iskandar Puteri,” ujarnya.