Polis Johor tambah 500 anggota pemantau - Utusan Malaysia

Polis Johor tambah 500 anggota pemantau

ALZAFNY Ahmad bertanya sesuatu kepada pemandu kenderaan ketika mengadakan lawatan dan tinjauan di SJR Jalan Pantai Permas Jaya Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 500 anggota pasukan pemantauan akan ditambah khusus bagi penugasan rondaan pencegahan susulan peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, selain pemantauan di sekatan jalan raya (SJR), rondaan akan dilaksanakan di kediaman pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah atau asrama pekerja.

Katanya, sehingga kini, terdapat 241 pasukan yang ditempatkan bagi memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

“Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengarahkan untuk mempertingkat aspek pematuhan SOP memandangkan Johor antara negeri tertinggi mencatatkan kadar kes harian.

“Jumlah kes individu dikuarantin semakin bertambah. Jadi, kita khuatir ada kemungkinan orang yang sepatutnya kuarantin kendiri ini mungkin bergerak keluar dari tempat kuarantin terutama dari rumah mereka.

“Atas faktor itu, beliau arahkan supaya kita menambah pasukan supaya dapat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui di SJR Jalan Pantai – Permas Jaya, di sini hari ini.

Alzafny berkata, polis akan membantu petugas Kementerian Kesihatan membuat pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah untuk memastikan mereka benar-benar melaksanakan kuarantin yang betul.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan terdapat individu yang dikuarantin ditahan di SJR menuju ke destinasi tertentu.

“Hasil daripada pemeriksaan yang sudah dijalankan, kita dapati penduduk di negeri ini patuh kepada arahan SOP. Kita tidak menerima sebarang aduan yang mengatakan pemandu kenderaan antara individu yang dikuarantin,” katanya.

Polis Johor membuat pemeriksaan di 54 SJR di 10 buah daerah di negeri ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya