Polis gagal cubaan bawa rokok seludup bernilai RM70000

Polis gagal cubaan bawa rokok seludup

HOO Chang Hook (kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas bernilai RM70,000 dalam sidang akhbar di IPD Jempol, Jempol hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Cubaan membawa masuk rokok seludup ke daerah ini berjaya digagalkan apabila sebuah lori yang membawa muatan tersebut yang bernilai RM70,000 ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Taman Sornam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, sepasukan pegawai dan anggota berjaya mengesan kesalahan berkenaan pada pukul 1.30 petang susulan gelagat pemandu lori berusia 25 tahun berkenaan yang agak resah serta mencurigakan semasa pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, telah berjaya menemui 28 kotak rokok seludup pelbagai jenama dengan setiap satu kotak berisi 50 karton rokok untuk di hantar ke Jalan Angkasa 7, Bahau.

“Suspek yang berasal dari Kulai, Johor itu mendakwa baru dua bulan bekerja dengan bayaran gaji secara tunai sebanyak RM270 bagi setiap penghantaran. Dia memberitahu tidak pernah bertemu dengan majikannya dan mula bekerja setelah melihat tawaran pekerjaan di aplikasi WeChat.

“Modus operandi sindiket rokok seludup ini ialah hanya berhubung melalui dua buah telefon bimbit yang diberikan majikan dan suspek akan diarahkan untuk meletakkan lori di beberapa tempat dengan kunci ditinggalkan di dalam lori,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini hari ini.

Mengulas lanjut modus operandi berkenaan, Chang Hook berkata, pada hari tangkapan semalam, suspek telah menerima panggilan berupa arahan daripada individu yang dipanggilnya ‘bos’ untuk mengambil sebuah lori yang ditinggalkan di Batu 21 Kulai, Johor bersama kunci untuk memulakan kerja penghantaran.

Suspek kemudiannya menerima arahan untuk ke Kajang, Selangor dan setelah sampai di Kajang, suspek telah meninggalkan lori dengan kunci di dalamnya di hadapan deretan kedai makan. 

“Kemudian suspek pergi ke kedai makan yang berhampiran dan lebih kurang 45 minit suspek terima panggilan daripada ‘bos’ dan meminta suspek untuk mengambil lori di tempat yang sama. Pada masa yang sama, ‘bos’ telah memberi alamat baru melalui mesej iaitu di Ambank Seremban.

“Sampai di Ambank, Seremban suspek telah meninggalkan lori dan kunci di tempat tersebut. Kemudian suspek duduk di kedai makan untuk menunggu panggilan seterusnya. Lebih kurang 30 minit, ‘bos’ telah menghubungi suspek dan minta mengambil lori di tempat yang sama dan memberikan alamat terbaru untuk membawa lori ke Jalan Angkasa 7, Bahau,” katanya.

Menurut Chang Hook, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan reman bermula hari ini hingga 29 Januari depan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya