SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) Selangor akan meneruskan dasar peduli rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi baharu serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang efisien.
Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan terus menggembleng perpaduan dan kesatuan rakyat untuk bersama-sama dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara.
“Sebagai sebuah gabungan kerjasama politik, PN mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara.
“Saya menyeru seluruh komponen, pimpinan dan aktivis akar umbi PN khususnya di negeri Selangor segera menggalang segala kekuatan dan sinergi baharu yang segar dan utuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, PN mengumumkan senarai pengerusi badan perhubungan negeri dengan melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Johor.
Mengulas mengenai pelantikannya menerajui Selangor, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar berkata, beliau berikrar akan menggalas amanah dan tanggungjawab dengan memperkukuh seluruh kekuatan dalam PN negeri tersebut.
“Saya berterima kasih di atas keyakinan diberikan Pengerusi Bersatu (Muhyiddin). Selangor merupakan negeri kosmopolitan dan progresif kerana rakyatnya yang rencam serta dinamik adalah aset utama sebagai sebuah negeri maju.
“Cabaran hari ini menuntut kerajaan yang stabil dan memberikan tumpuan kepada usaha menjamin keselamatan rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE