SETIU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tergugat dengan penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan PN masih kerajaan yang sah dengan majoriti 110 sokongan.
“Dan yang penting bagi kita, kerajaan ini adalah kerajaan yang berfungsi sejak dari awal Perdana Menteri mengangkat sumpah pada Mac 2020 hingga kini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Kelmarin, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi UMNO Kelantan berkata, keputusannya itu dibuat tanpa desakan mana-mana pihak dan tiada kepentingan peribadi, sebaliknya atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN). – UTUSAN ONLINE