PN Johor adakan mesyuarat sulung - Utusan Malaysia

PN Johor adakan mesyuarat sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) Johor yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan Negeri (BPN) yang pertama di peringkat negeri, esok.

Dalam mesyuarat yang akan berlangsung di Putrajaya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN Johor akan mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama para pemimpin kedua-dua parti itu.

Difahamkan, tumpuan dan usaha untuk memulihkan semula kehidupan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 antara yang menjadi perhatian mesyuarat tersebut.

Malah menurut jurucakap PN Johor, mesyuarat itu juga merangkumi pelantikan jawatankuasa penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PN di Johor selain merangka, menyenarai dan menyelaras segala program serta aktiviti parti di peringkat negeri.

“Pembentukan struktur gabungan yang terdiri daripada Bersatu dan Pas itu serta program dan aktiviti yang dirancang dijangka menjadi model kepada PN di negeri-negeri lain khususnya dalam mengendalikan program atau aktiviti di negeri masing-masing.

“Sebagai sebuah gabungan politik baharu yang menerajui kerajaan Pusat, segala program akan memberi fokus kepada usaha membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara parti dan kedudukan PN,” katanya di sini hari ini.

Johor secara simboliknya dipilih menjadi negeri pertama mengadakan mesyuarat itu selepas PN mengumumkan pelantikan Pengerusi Perhubungan setiap negeri pada 4 Januari lalu yang menyaksikan Muhyiddin dipilih sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Johor.

Tambah jurucakap itu, mesyuarat pertama Badan Perhubungan PN Johor dijangka menjadi pencetus kepada gerak kerja besar-besaran di seluruh negara terutamanya PN di negeri-negeri lain.

Selain Muhyiddin, PN Terengganu diketuai Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor); Datuk Ahmad Yaakob (Kelantan); Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Muhammad Sanusi Md. Nor (Kedah).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor pula mengetuai PN negeri itu manakala Datuk Saifuddin Abdullah (Pahang); Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan); Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang); Mohd. Shukri Ramli (Perlis); Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Melaka), Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) dan Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya