KOTA TINGGI: Satu kajian segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku terutamanya di pusat bandar daerah ini yang dipercayai berpunca daripada sistem saliran.
Perkara itu disarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melakukan lawatan dan tinjauan keadaan banjir di Kota Tinggi semalam.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Saddique berkata, masalah saliran dan air pasang besar yang bertembung dengan air banjir perlu diberi keutamaan dan perhatian dalam kajian yang bakal dilaksanakan.
“Setiap kali banjir di Johor, Kota Tinggi akan jadi daerah paling teruk dan di bandar ini bila banjir besar, masyarakat akan cakap bukan sebab hujan, sebaliknya berpunca daripada air pasang yang bertembung dengan hujan.
“15 belas tahun dahulu, Kota Tinggi pernah berdepan banjir teruk dan sepatutnya langkah diambil sebelum banjir berlaku, bukan selepas berlaku baru kita termenung dan mula memikirkan soal baik pulih dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana di sini semalam.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi 12 tengah hari sebelum meluangkan setengah jam mendengar taklimat banjir dan melawat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS itu.
Ahli Parlimen Pagoh itu kemudian meneruskan lawatannya ke PPS SK Laksamana dan meluangkan kira-kira 15 minit sebelum beredar pada 12.45 tengah hari untuk meninjau situasi banjir di Pahang. – UTUSAN