PUTRAJAYA: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dinaik taraf bermula 18 Januari ini sebagai hospital bersepadu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu antara strategi terkini ekoran trend pertambahan kes positif baharu kebelakangan ini yang perlu ditangani segera.
“Kita akan ubah Dewan B untuk boleh menempatkan sebanyak 1,040 katil bagi pesakit bergejala kategori 1 dan 2 serta 30 katil lagi untuk tahap kritikal kategori 3 dan 4,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan PKRC 2.0 MAEPS dekat sini hari ini yang dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
MAEPS diaktifkan semula sebagai PKRC pada 9 Disember tahun lalu dengan kapasiti 10,000 katil, berbanding peringkat pertama dari 16 April sehingga 15 Julai lepas hanya ada 604 katil.
Terdahulu, Dr. Adham menyampaikan sumbangan kerajaan kepada adik Mohd. Nor Atho’ullah Mohd. Kamil yang kematian bapa akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh 25 Disember lalu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, PKRC 2.0 MAEPS juga selepas ini akan dapat mula menerima pesakit baharu kategori 1 dan 2 dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Kita juga akan buka Dewan D1 dengan kapasiti 1,400 pesakit risiko rendah warga tempatan berkeluarga dalam aras sama agar mereka tiada tekanan akibat terpisah berjauhan,” jelasnya.
Sementara Dewan B yang sebelum itu menempatkan pesakit wanita warga tempatan sejak awal bulan ini diubah dengan ada ruang tambahan 10 katil seperti Unit Rawatan Rapi (ICU).
Malahan ujar Dr. Adham, bilangan petugas akan ditingkatkan terutama pegawai perubatan dan pakar dalam bidang tertentu selain jururawat untuk ditempatkan di PKRC 2.0 MAEPS.
“Strategi ini disebut ‘step-down care’ untuk fokus pesakit kategori 1 dan 2, namun kategori 3 dan 4 boleh dipindah segera ke hospital Covid-19 terdekat jika berlaku lonjakan kes,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penubuhan Pusat Penilaian Covid (CAC) di setiap negeri dan daerah bagi pesakit tidak bergejala untuk menjalani proses kuarantin wajib di rumah sendiri.
Penilaian tegasnya, akan dibuat terlebih dahulu oleh pegawai kesihatan daerah sebelum diberi kelulusan sebagai strategi pihak kementerian untuk mengurangkan kesesakan di hospital.
“Namun, jika rumah pesakit itu didapati CAC sebagai sesak dengan ramai ahli keluarga atau ruang sempit untuk tujuan pengasingan, mereka akan dihantar ke hospital,” kata Dr. Adham. -UTUSAN ONLINE