TAPAH: Seramai 494 penduduk di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di sini yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menjalani ujian saringan Covid-19 bermula esok.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ujian saringan itu membabitkan 245 penduduk dari 72 keluarga di Batu 6 ‘bawah’ dan 73 keluarga dengan 249 penduduk di Batu 6 ‘atas’.
Katanya, ujian saringan itu dilakukan secara berperingkat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD sehingga 3 Februari ini.
“Bermula esok, pihak KKM akan memulakan ujian saringan ke atas penduduk dan kita minta agar mereka patuh dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Sehingga semalam, mengikut data yang dikeluarkan KKM, seramai 12 penduduk telah disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama pelaksanaan PKPD di Batu 6, Jalan Pahang di sini hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, penugasan PKPD di kampung tersebut berdepan cabaran dari segi kawalan ekoran keadaan bentuk muka buminya yang berbukit dan dikelilingi hutan.
Katanya, tiga laluan tikus telah dikenal pasti dan kawalan akan dilakukan di kawasan berkenaan selain melihat keperluan memasang kawad duri.
“Kampung ini melibatkan kawasan seluas 3.2 kilometer persegi dengan kawasan berbukit dan laluan tikus yang dikhuatiri menjadi laluan keluar penduduk.
“Kita telah kenal pasti beberapa kawasan dan akan kawal laluan berkenaan. Dua pos kawalan akan didirikan di dua pintu masuk ke kampung tersebut bagi memantau pergerakan penduduk,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Abas Bah Kecil, 57, berkata, dia dan empat ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anak tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga bersedia untuk menjalani ujian saringan bagi memastikan berada dalam keadaan baik.
“Kami ikut sahaja apa yang baik. Lagipun dari segi kebajikan dijaga di mana Jakoa datang memberi barang keperluan makanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE