KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan pelaksanaan solat fardu dan Jumaat secara berjemaah di seluruh masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, jawatankuasa masjid dan surau bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan solat berjalan lancar dengan mematuhi SOP pihak berkuasa.
“Sultan Terengganu menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dan mengharapkan semua ahli jawatankuasa masjid dan jemaah memainkan peranan dalam memastikan setiap arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dapat dipatuhi dengan sewajarnya.
“Mana-mana jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penutupan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Osman berkata, semua pegawai agama diarahkan membuat pemantauan secara serius bagi memastikan institusi masjid atau surau patuh kepada syarat ditetapkan.
Di samping itu, katanya, Sultan Mizan turut menyeru semua masjid dan surau mengadakan solat hajat dan bermunajat bagi memohon perlindungan Allat SWT agar wabak Covid-19 dapat dibendung.
“Baginda menyeru rakyat memainkan peranan dalam membantu barisan hadapan terutama pasukan perubatan dengan mematuhi SOP dan jangan sesekali mengabaikan arahan ditetapkan.
“Baginda berdoa situasi akan kembali pulih seperti sedia kala dan semoga rakyat berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT,” katanya. -UTUSAN ONLINE