PKPB: Pertimbang semula keputusan buka sekolah - Utusan Malaysia

PKPB: Pertimbang semula keputusan buka sekolah

NOR AZRINA SURIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan diminta mempertimbangkan semula keputusan untuk membuka sesi persekolahan di negeri-negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 20 Januari depan.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, keputusan membenarkan sesi persekolahan bermula kira-kira seminggu lebih awal daripada tempoh berakhirnya PKPB iaitu pada 26 Januari 2021, merupakan langkah yang bertentangan dengan matlamat, prinsip serta dasar pelaksanaan PKPB.

“Semua sedia maklum bahawa matlamat utama PKPB dalam tempoh 14 hari adalah untuk mengekang penularan Covid-19. Jadi, apabila pihak kementerian mengumumkan pembukaan sekolah ketika tempoh 14 hari itu belum berakhir, sudah tentu keputusan tersebut mengundang kebimbangan dalam kalangan semua pihak.

“Sesi awal persekolahan tidak hanya melibatkan pergi dan balik sebaliknya menuntut ibu bapa menyelesaikan proses pendaftaran serta urusan-urusan lain. 

“Biarpun ada prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi, namun, ragam anak-anak darjah satu yang baru memasuki alam persekolahan sudah tentu memerlukan sentuhan dan perhatian khusus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan Negeri Sembilan meminta Kementerian Pendidikan untuk menilai semula keputusan itu kerana berpandangan kemasukan ke sesi persekolahan pada 20 Januari depan boleh mengundang risiko pertambahan penularan Covid-19.

Nor Azrina menambah, Kementerian Pendidikan perlu mengambil iktibar peningkatan kes positif Covid-19 akhir-akhir ini yang berpunca daripada pertemuan antara individu dari zon merah dengan pihak lain.

Justeru, katanya, demi kemaslahatan rakyat secara keseluruhan, sesi persekolahan sepatutnya hanya dimulakan selepas selesai pelaksanaan PKPB nanti.

“Kita bimbang dengan apa yang berlaku ketika ini. Apatah lagi laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menunjukkan Mukim Sungai Petani yang pada asalnya zon oren dengan jumlah 40 kes pada 4 Januari, telah bertukar menjadi zon merah pada 5 Januari dengan catatan 51 kes.

“Terkini setakat 13 Januari, sebanyak 171 kes dilaporkan dan peningkatan sebanyak 120 kes dalam tempoh seminggu amatlah membimbangkan apatah lagi dalam keadaan sekolah hendak dibuka tidak lama lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya