IPOH: Sebanyak 16 sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan di semua kawasan sempadan negeri bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekatan selama 14 hari itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ke atas negeri ini.
“Sebanyak 352 pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga akan digerakkan bagi tujuan tersebut.
“Kedua-dua penugasan itu melibatkan 1,113 pegawai dan anggota Kontinjen Perak merangkumi penugasan setiap hari,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan supaya mematuhi setiap SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada masyarakat amat penting dalam memerangi penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas berkata, PKPB akan dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Tempoh pelaksanaan selama 14 hari bermula pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Januari depan. – UTUSAN ONLINE