PKP: Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat di masjid, surau di Perak - Utusan Malaysia

PKP: Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat di masjid, surau di Perak

MOHD ANNUAR ZAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan semua masjid dan surau di seluruh negeri dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat .

Kebenaran itu termasuk surau dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas baginda menimbangkan sembah cadangan MAIPk yang berpandukan nasihat Jawatankuasa Fatwa Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Mohd. Annuar berkata, keputusan tersebut diperkenan bagi membolehkan lebih ramai individu menunaikan solat Jumaat.

“Baginda turut memperkenankan had maksimum 40 orang jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatan kuasa dan pegawai masjid atau surau.

“Jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 18 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Annuar berkata, syarat-syarat penjarakan antara jemaah akan diperketatkan dengan pengenalan mekanisme baharu merangkumi aliran masuk dan keluar masjid mahupun surau.

Katanya, aktiviti keagamaan seperti kuliah dibenar untuk diadakan dalam tempoh antara waktu solat Maghrib dan Isyak di masjid dan surau dan hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu solat Isyak.

“Bagaimanapun sebarang acara jamuan di dalam atau perkarangan masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa pada 28 Januari ini sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya