ALOR SETAR: Pemilik Restoran Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena dekat sini menjangkakan pendapatannya akan terjejas apabila ramai pelanggan dari luar daerah ini tidak dapat mengunjungi premisnya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini bermula hari ini hingga 4 Februari ini.
Norasiah Abdul Rahman, 47, berkata, namun dia akan meneruskan perniagaan walaupun pelanggannya hanya boleh membungkus roti canai dan minuman.
Pada masa sama menurutnya, dia juga bersedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Saya jangka jumlah pelanggan menurun lebih daripada separuh apabila mereka yang berada di luar daerah tidak dapat datang ke restoran ini.
“Pada masa ini, saya menyediakan tepung gandum antara 25 hingga 30 kilogram untuk membuat roti canai, selepas ini mungkin akan dikurangkan,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia pada November lalu melaporkan Restoran Roti Canai Janda yang diusahakan dua beranak berstatus janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena dekat sini menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar daerah ini sejak tiga tahun lalu.
Norasiah yang dibantu anak sulungnya, Nurul Nadia Ismail, 27, yang juga ibu tunggal berkata, dia mengunakan slogan ‘Nikmatnya Tak Terlupa’ sehingga menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan pintas dari Pokok Sena ke Bandar Darulaman, Jitra.
Antara sajian popular di restoran itu ialah roti canai sarang burung serta roti doll.
Norasiah memberitahu, perniagaannya ditutup sepanjang PKP Mac tahun lalu namun kali ini dibuka kerana kerajaan membenarkan operasi kedai makan.
“Diharapkan perniagaan roti canai yang saya usahakan ini terus mendapat sambutan walaupun ketika PKP,” katanya. – UTUSAN