PKP: Bengkel bergerak Ahmad Tarmizi mudahkan pemilik kenderaan

PKP: Bengkel bergerak Ahmad Tarmizi mudahkan pemilik kenderaan

AHMAD Tarmizi Sanusi membaiki kenderaan di kawasan rumah pengguna sepanjang PKP bagi memudahkan orang ramai yang terhad pergerakan di Pontian, Johor. - FOTO/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan pelbagai idea dalam kalangan masyarakat untuk memudahkan urusan orang lain yang mungkin terhad langkah mereka berikutan arahan tersebut.

Jika sebelum ini perkhidmatan yang ditawarkan lebih kepada penghantaran makanan atau food rider, tetapi berlainan pula dengan seorang mekanik yang menawarkan khidmat baik pulih kenderaan dari rumah ke rumah.

Bagi Ahmad Tarmizi Sanusi, 36, perkhidmatan baik pulih itu telah dilakukan sepanjang PKP Mac tahun lalu bagi membantu pengguna yang tidak dapat bergerak untuk menghantar kereta masing-masing ke bengkel.

Katanya, apabila PKP kali kedua dilaksanakan minggu lalu, perkhidmatannya sebelum ini diteruskan semula berdasarkan kepada maklum balas dan permintaan pelanggan yang pernah membaiki kenderaan melalui kaedah tersebut dengannya.

Menurut Ahmad Tarmizi, dia sebelum ini membuka bengkel kenderaan di Kempas, Johor Bahru sebagai rakan kongsi tetapi tidak lagi meneruskannya sejak PKP pertama dilaksanakan di seluruh negara.

“Seperti sebuah bengkel bergerak saya cuba memenuhi permintaan pelanggan kecuali melibatkan penurunan enjin kerana memerlukan kawasan sesuai dan masa yang lama.

“Saya teruskan usaha ini atas sokongan ahli keluarga, sahabat-handai dan pelanggan yang mahukan saya kembali memberi khidmat membaiki kenderaan kepada pelanggan yang pergerakan mereka terbatas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ahmad Tarmizi, selain perkhidmatan menukar minyak enjin dan penyelenggaraan lain, dia turut berupaya mengganti peralatan yang rosak, menukar sistem suspensi dan pelbagai kerosakan lain.

Katanya, semua kerja-kerja dilakukan seorang diri kerana tiada kemampuan untuk membayar gaji pekerja kerana upah yang dikenakan hanya sekitar RM60 hingga RM120 bergantung kepada kerosakan dan peralatan yang diperlukan.

Jelas beliau, perkhidmatan bergerak itu bukan sahaja tertumpu di daerah Pontian tetapi merangkumi kawasan lain seperti Rengit, Simpang Renggam, Ulu Choh, Gelang Patah, Johor Bahru, Taman Universiti dan Kangkar Pulai.

“Perkhidmatan yang ditawarkan bukan semata-mata untuk mencari keuntungan tetapi bagi membantu memudahkan pemilik yang memerlukan kerja-kerja baik pulih kenderaan.

“Saya turut membantu pemilik kenderaan yang sudah lama tersadai dan dibaik pulih sehingga dapat bergerak semula bagi tujuan urusan seharian untuk ke kebun dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya