PETALING JAYA: Seramai 16 individu dikenakan tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 10 individu termasuk dua wanita dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar SOP dengan berhibur di sebuah pusat hiburan.
“Ketika serbuan pada pukul 7.50 malam itu, didapati pengunjung sedang makan dan minum minuman keras sekali gus melanggar SOP PKP yang telah ditetapkan kerajaan.
“Turut ditahan seorang penjaga premis berusia 51 tahun dan seorang pekerja warga asing yang tetap degil menjalankan operasi pusat hiburan walaupun tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya kemudian menahan enam lelaki warga asing kerana melakukan aktiviti sukan bola sepak di taman permainan awam Jalan SS20/12, Damansara Kim di sini.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa), Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan beberapa seksyen lain.
“Kita beri amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP 2.0 ini kerana kegagalan berbuat demikian membolehkan anda dikompaun RM1,000 atau ditangkap seterusnya dibawa ke mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE