PIBG sumbang komputer riba kepada pelajar - Utusan Malaysia

PIBG sumbang komputer riba kepada pelajar

Abdul Rahim Tahir (tengah) dan Norhisham Abd. Shukor (kanan) pada majlis penyerahan sumbangan komputer riba kepada pelajar keluarga B40 di SK Meru Raya, Ipoh kelmarin. -UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Prihatin dengan keperluan komputer riba bagi meringankan beban pelajar isi rumah B40 untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mendorong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya di sini untuk tampil membantu golongan terbabit.

Hasil inisiatif tersebut, PIBG sekolah tersebut dengan kerjasama Butik Gondola.31 dan syarikat menjual komputer, Imika Empire Sdn . Bhd. (Imika HQ Ipoh) berjaya menyumbangkan 15 unit komputer riba kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Yang DiPertuan PIBG SK Meru Raya, Zulliana Hasan berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada semua yang sama-sama membantu menjayakan inisiatif kebajikan tersebut dan berjaya disempurnakan dalam masa singkat.

Menurutnya, kesemuanya sebanyak 33 unit komputer akan disumbangkan secara berperingkat-peringkat kepada murid dalam mengikuti sesi PdPR untuk pembelajaran seharian mereka ketika ini.

“Tatkala ada antara anak-anak kita boleh belajar ketika PdPR, hakikatnya masih ramai anak-anak di luar sana kurang berkemampuan dan mereka sukar mengikuti sesi pembelajaran disebabkan masalah kewangan ibu bapa semasa pandemik Covid-19.

“Justeru, kita merasa amat bersyukur program sumbangan komputer riba ini dapat dijayakan hasil kerjasama semua pihak khususnya guru-guru SMK Meru Raya termasuklah keprihatinan pihak Imika HQ Ipoh dan Butik Gondola.31,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan komputer riba di sekolah tersebut di sini kelmarin.

Penyerahan disempurnakan oleh Guru Besar SK Meru Raya, Norhisham Abd. Shukor dan pemilik Imika HQ Ipoh, Abdul Rahim Tahir mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Norhisham pula berkata, sumbangan komputer riba itu membuktikan kerjasama yang dimainkan oleh pihak ibu bapa menerusi PIBG yang prihatin terhadap aspek pembelajaran murid-murid.

“Seramai 33 murid daripada keluarga B40 di sekolah ini menerima manfaat hasil daripada sumbangan yang dihulurkan sekali gus telah membantu keluarga-keluarga yang memerlukan.

“Terima kasih Imika Empire HQ Ipoh dan Gondola.31 dalam melaksanakan tanggungjawab sosial bersama Ahli Jawatankuasa PIBG. Semoga mereka dilimpahkan rezeki didalam perniagaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN