ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah menyokong usaha kerajaan negeri untuk menuntut caj air mentah daripada Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, kerajaan negeri perlu menggunakan kaedah terbaik dan berhemah dalam mengemukakan tuntutan tersebut.
Beliau berkata, tuntutan itu adalah wajar kerana negeri ini telah mengorbankan sebahagian besar kawasan hutannya untuk dijadikan lokasi tadahan air.
“Tapi rundingan yang baik perlu dibuat, tidak boleh ada nada ugutan dan sebaiknya perlu libatkan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas jamuan kesyukuran sempena pembukaan pejabat Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri tetap mahu menuntut bayaran bekalan air mentah Sungai Muda daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air di negeri ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun tiada perjanjian ‘hitam putih’ dalam urusan bekalan air antara kedua-dua negeri itu, Parlimen sudah meluluskan Akta Industri Bekalan Air 2006 dan penubuhan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk mengumpul pendapatan bekalan air mentah.
Selain itu, Phahrolrazi menambah, kerajaan Persekutuan juga wajar memberi sagu
hati atau pampasan kepada kerajaan negeri yang memulihara sumber air bukan sahaja untuk Pulau Pinang, malah Perlis.
“Malah (caj air mentah) juga sebenarnya boleh dituntut daripada Perlis,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Habis