ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) Kedah terbuka untuk bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, walaupun Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak pendaftaran Pejuang namun tidak menjejaskan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.
Menurutnya, PH terutamanya Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa menyahut seruan Presiden parti itu dalam memperbanyakkan rakan dan mengurangkan musuh politik bagi merampas semula kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Dalam konteks Kedah, kami memegang pandangan Presiden Amanah i(Mohamad Sabu), kita hendaklah banyakkan kawan dan mengurangkan lawan, selain rakan-rakan pejuang adalah merupakan rakan kami terdahulu,
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Jamuan Kesyukuran sempena Pembukaan Pejabat Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Phahrolrazi yang juga Pengerusi Amanah Kedah berkata, PH di negeri ini sudah berada pada tahap melebihi 50 peratus dalam menghadapi PRU-15 akan datang.
Tambahnya, ketika ini perbincangan banyak menjurus kepada pembahagian kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-14 memandangkan parti itu kini tidak lagi merupakan rakan komponen PH.
“PH Kedah juga telah memutuskan parti komponen iaitu Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding atau memenangi mana-mana kawasan Parlimen dan DUN di Kedah akan diberi peluang untuk bertanding semula di kawasan berkenaan.
Phahrolrazi berkata, beliau juga menyasarkan PH memenangi lebih daripada 20 kerusi DUN di Kedah seterusnya menawan semula negeri ini pada PRU-15 nanti. UTUSAN ONLINE