LIPIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Pejabat Daerah Lipis menempatkan sebuah trak perkhidmatan mengisi minyak petrol bergerak yang dikenali sebagai Petronas ROVR di daerah ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ROVR yang menyediakan minyak petrol Petronas Primax 95 ditempatkan di Terminal Anggerik, Bandar Baru Kuala Lipis dan beroperasi bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari.
Jelasnya, usaha itu dilakukan setelah KPDNHEP difahamkan semua lima stesen minyak yang beroperasi di bandar itu ditenggelami air sejak 4 Januari lalu.
“Stesen minyak yang terselamat dan paling dekat pula terletak agak jauh iaitu kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Lipis.
“Keadaan ini pasti akan menyusahkan semua pihak termasuk penduduk, agensi dan jabatan kerajaan, mahupun sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan petrol untuk bergerak melaksanakan tugas atau misi kemanusiaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nanta Linggi berkata, pengguna perlu membayar menggunakan kad debit dan kredit di ROVR kerana pembayaran wang tunai tidak diterima buat masa ini.
“Trak ini akan beroperasi sehingga perkhidmatan stesen minyak yang terjejas di bandar Kuala Lipis kembali beroperasi.
“Dalam pada itu, KPDNHEP sedang berbincang dengan Petronas untuk memperluaskan perkhidmatan seumpama ini di kawasan dan negeri lain yang terjejas banjir dan mengalami masalah serupa,” katanya.
Beliau berharap, inisiatif itu memberi sedikit kelegaan dan memudahkan segala urusan penduduk, agensi dan jabatan kerajaan serta sukarelawan NGO yang sedang berjuang membantu mangsa banjir. – UTUSAN