KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang, 75, disahkan positif Covid-19 hari ini.
Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Husain yang juga merupakan Ahli Dewan Negara kini ditempatkan di Hospital Setiu di Setiu untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun beliau dalam keadaan sihat tanpa sebarang gejala.
“Marilah bersama berdoa agar beliau dilindungi Allah dan dikurniakan kesejahteraan serta keafiatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selasa lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud disahkan positif Covid-19.
Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dan isterinya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). -UTUSAN ONLINE