MELAKA: Pesara polis turut terpedaya dan menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sehingga mengalami kerugian berjumlah RM20,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 70 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai polis.
Katanya, individu terbabit kemudian mendakwa mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditahan sekiranya tidak membayar wang bagi jaminan polis.
“Mangsa yang ketakutan kemudian memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam satu akaun bank yang diberikan individu berkenaan.
“Selepas membuat bayaran, suspek telah menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuat bayaran kali kedua dengan amaun sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari.
Jelasnya, mangsa kemudian akur dan membuat bayaran kedua itu sebelum menceritakan kejadian tersebut kepada ahli keluarganya.
Tambah Sundra Rajan, mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Jasin, semalam.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
“Saya menasihati orang ramai agar terus membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan. Semakan boleh dibuat di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘check scammers CCID di Google playstore,” katanya. -UTUSAN ONLINE