Pesakit Covid-19 rayu cepatkan proses pengasingan dengan warga asing - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19 rayu cepatkan proses pengasingan dengan warga asing

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pesakit warga tempatan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kompleks Sukan Balik Pulau di sini merayu supaya proses perpindahan mereka ke Pusat Latihan Zakat (Pulaza) di Jalan Pantai Acheh dipercepatkan.

Ini berikutan rata-rata mereka tidak sanggup lagi berdepan dengan kesesakan dan terpaksa berebut makanan, ruang solat serta bilik mandi dengan ratusan pesakit warga asing yang turut menjalani kuarantin di situ.

Mereka juga tidak dapat lagi bersabar untuk berpindah selepas menunggu dari awal pagi ini yang dimaklumkan sebelum ini.

Seorang pesakit warga tempatan yang enggan dikenali berkata, keadaan di PKRC amat mengecewakan selain tiada pemantauan oleh pihak berkaitan.

“Layanan di sini bukan seperti mana yang kita bayangkan. Tiada ubat, tiada doktor pantau. Hanya berehat di atas katil di tempat yang tidak bersih. Lebih baik dikuarantin di rumah sendiri,” katanya menerusi sistem pesanan ringkat (SMS) di sini malam ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pesakit turut meminta pihak bertanggungjawab mempercepatkan proses perpindahan dan pengasingan dengan warga asing di pusat kuarantin tersebut.

“Saya rasa sangat kecewa kerana selama ini saya hanya tonton di kaca televisyen. Saya ingatkan ada penjarakan antara pesakit, tetapi kami dihimpunkan macam pelarian, sangat jauh berbeza dengan tanggapan saya sebelum ini,” keluhnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd. Tuah Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan kemungkinan proses perpindahan pesakit akan dijalankan esok berikutan kerja-kerja pendawaian elektrik dan persiapan katil pesakit sedang dilakukan di Pulaza.

Terdahulu, Mohd. Tuah dengan kerjasama Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) menyerahkan sumbangan sebanyak 1,000 botol minuman, pelitup muka dan makanan kepada barisan hadapan di pusat berkenaan petang tadi.

Utusan Online sebelum ini melaporkan pesakit-pesakit terbabit akan dipindahkan segera ke Pulaza selepas isu berkaitan kebersihaan dan kesesakan menghantui mereka selain terpaksa dikuarantin dengan warga asing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya