SEREMBAN: Kerajaan perlu mempertimbang semula cadangan untuk melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan lagi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula esok ini di enam buah negeri.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, perlu juga dipertimbangkan ialah cadangan penghapusan syarat pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan tiada lagi kategori 1 atau kategori 2.
Menurutnya, kedua-dua cadangan itu perlu dipertimbangkan kerajaan sebagai inisiatif tambahan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas pendapatan mengambil kira kesan terhada ekonomi sewaktu pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.
“Saya amat berharap agar dalam tempoh masa terdekat ini, kerajaan akan mengumumkan pula inisiatif tambahan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat PKP 2.0 ini. Saya ingin mengulangi semula cadangan yang dibawa oleh saya dan rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN) sewaktu Belanjawan 2021 yang lalu untuk dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan.
“Lanjutan moratorium secara automatik kepada semua untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan lagi serta penghapusan syarat pengeluaran i-Sinar KWSP, tiada lagi kategori 1 atau 2, sesiapa yang mempunyai baki wang dalam Akaun 1 akan dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bermula pukul 12.01 tengah malam Rabu ini sehingga 26 Januari ini melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Beliau berkata, PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dan bagi negeri Perlis dan Sarawak dikenakalan PKP Pemulihan (PKPP) yang akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menambah, dalam menghadapi pelaksanaan PKP kali kedua ini, rakyat sudah menaruh harapan kepada kerajaan supaya dapat membantu bagi mengurangkan kesan yang bakal dihadapi mereka.
“Saya mohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya dua perkara ini. Pastinya rakyat di luar sana menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk memberikan bantuan yang sewajarnya bagi meminimakan kesan yang ditanggung mereka akibat daripada pelaksanaan PKP 2.0 ini.
“Semoga Malaysia terus diselamatkan dari serangan pandemik dan juga lain lain bencana buruk seperti banjir dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN