KOTA BHARU: Lima gajah betina yang merosakkan kebun penduduk di Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah sejak tahun lalu, akhirnya berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan semalam.
‘Geng’ mamalia herbivor tersebut dilaporkan membuat onar di kebun-kebun penduduk sejak November lalu sebelum berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi pemindahan kumpulan gajah liar yang ditangkap itu akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Bagi menjalankan operasi ini, Perhilitan Kelantan akan mendapatkan bantuan daripada kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.
“Kesemua hidupan liar itu akan dilepaskan ke habitat semula jadi di kawasan Taman Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff memberitahu, tangkapan gajah liar itu memberikan kelegaan kepada penduduk setempat di beberapa kawasan lain termasuk Air Kerla, Bukit Capong dan Air Resom yang turut berdepan masalah sama.
“Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak kami, kita dapati hidupan liar ini dari kumpulan gajah yang terdapat di kawasan Hutan Simpan Sokor Taku.
“Gajah-gajah ini dipercayai telah keluar dari hutan simpan berkenaan untuk mencari makanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE