IPOH: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan melaksanakan projek e-Tanah iaitu sistem berkomputer bersepadu bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah mulai 15 Februari ini.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, e-Tanah akan membolehkan pengguna mengemukakan permohonan dan pembayaran cukai tanah secara atas talian.
“Sistem tersebut dilihat sebagai salah satu pendorong penting kepada penggunaan teknologi secara dalam talian sepenuhnya bagi memobalisasi penyampaian perkhidmatan awam secara digital.
“Pendigitalan perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan terutamanya ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
“Langkah itu adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan suatu sistem penyampaian pengurusan tanah yang lebih mudah, komprehensif dan selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saarani berkata, melalui sistem e-Tanah, transaksi permohonan dan pembayaran akan dilakukan tanpa wayar, tanpa kertas dan tanpa tunai.
Katanya, keperluan urusan secara digital bukan sahaja penting kepada pejabat tanah tetapi juga kepada orang awam yang lebih selesa membuat transaksi secara dalam talian tanpa perlu ke kaunter kerajaan.
“Ini adalah satu langkah untuk mengadaptasi norma baharu dalam perkhidmatan awam melalui penyampaian sistem kerajaan secara online dengan menggalakkan pembayaran secara tanpa tunai, mengurangkan pergerakan bersemuka di kaunter serta dapat mengurangkan ketirisan hasil,’’ katanya.
Saarani hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi sistem e-Tanah antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat Puncak Tegap Sdn. Bhd. yang diadakan secara maya.
Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim manakala Datuk Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli mewakili kerajaan Persekutuan sementara Puncak Tegap Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nigel Lee. -UTUSAN ONLINE