Penyeludup seronok musim PKP, eksport lonjak harga ketum

Penyeludup seronok musim PKP, eksport lonjak harga ketum

DAUN ketum yang ditinggalkan di kebun kelapa sawit dirampas polis dalam serbuan di Kampung Kubang Tiga, Padang Besar, Perlis baru-baru ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menjadi tempoh seronok buat penyeludup dan pembekal ketum kerana harga barang terlarang itu di Thailand dikatakan naik sehingga RM180 sekilogram berbanding sebelum itu sekitar RM80 hingga RM100 sekilogram.

Jadi, Perlis dan negeri-negeri lain bersempadan Thailand semakin `ligat’ menyeludup daun ketum untuk dibekalkan kepada peraih di Thailand.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, sepanjang bulan ini, sebanyak 12 kes rampasan daun ketum dianggarkan 5,000 kilogram (kg) direkodkan.

“Nilai rampasan kes penyeludupan juga meningkat dalam tempoh tiga minggu pertama bulan ini iaitu mencecah RM3 juta berbanding sekitar RM1 juta dalam tempoh sama tahun lalu,” kata beliau baru-baru ini.

SURINA SAAD

Permintaan semakin tinggi terhadap daun ketum di negara jiran sejak kebelakangan ini menyebabkan aktiviti penyeludupan meningkat.

Difahamkan, harga daun ketum di Thailand kini naik sekali ganda iaitu mencecah RM180 sekilogram berbanding sebelum ini sekitar RM80 hingga 100 sekilogram.

Selain jalan darat, laluan laut di Kuala Perlis turut menjadi tumpuan penyeludup berikutan jarak perairan dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand hanya kira-kira 1.3 batu nautika dengan perjalanan pula sekitar beberapa minit.

Bulan lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebanyak 300 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM1.5 juta di perairan Kuala Perlis selain melibatkan kes rampasan daun ketum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, permintaan daun ketum yang semakin tinggi di negara jiran menyebabkan penyeludup terus berani melakukan aktiviti penyeludupan tersebut termasuk melalui laluan laut.

Katanya, antara modus operandi terbaharu penyeludup melalui laluan laut adalah dengan menggunakan bot atau sampan berserta enjin sangkut bergalah yang mana bot terbabit boleh memecut laju di atas air cetek serta di kawasan berlumpur.

Jelasnya, penyeludup terbabit juga didapati meninggalkan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di pesisiran pantai.

“Mereka (penyeludup) juga sering membuat pertukaran barangan tersebut di sempadan perairan negara Malaysia Thailand selain menyembunyikan bungkusan-bungkusan daun ketum dengan pukat ikan,” katanya.

Tambah Mohd. Shafie, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penyeludup lazimnya melakukan aktiviti tersebut pada sebelah awal pagi selain menunggu keadaan air pasang surut.

“Dengan bayaran upah atau gaji yang tinggi penghantaran ke negara jiran menyebabkan mereka mengambil jalan mudah ini,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hanya dengan membawa dan memindahkan daun ketum dalam tempoh sekitar lima hingga 10 minit, penyeludup tempatan mampu menjana pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit.

Difahamkan mereka terlibat diupah sekitar RM3 hingga RM5 setiap kilogram dan pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM5,000 jika melakukan penghantaran daun ketum sehingga 1,000 kilogram atau satu tan metrik daun berkenaan.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, sebanyak sembilan kes membabitkan rampasan daun ketum oleh Maritim Malaysia di perairan Kuala Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN