ALOR SETAR: Kesemua penumpang feri ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah di sini perlu mempunyai surat kebenaran rentas daerah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, penumpang yang gagal menunjukkan surat kebenaran itu pada PKP ini tidak akan dibenarkan menaiki feri.
Menurutnya, polis dan pengurusan terminal feri itu akan melakukan pemeriksaan lebih ketat dalam memastikan penumpang memiliki surat kebenaran tersebut.
“Sesiapa yang akan bergerak ke Langkawi, mereka memerlukan kebenaran polis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (JSR) di Kota Sarang Semut di sini malam semalam.
Pada Selasa lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, seluruh negara berada di bawah PKP kecuali negeri Sarawak bermula 22 Januari dan berakhir pada 4 Februari depan.
Pada PKP ini, perjalanan feri ke Langkawi hanya beroperasi melalui Terminal Feri Kuala Kedah manakala laluan dari Terminal Feri Kuala Perlis ditutup.
Pergerakan feri di terminal tersebut ke Langkawi hanya pada satu perjalanan sehari.
Ahmad Shukri menambah, syarikat feri juga diminta tidak mengeluarkan tiket kepada penumpang yang didapati tidak mendapat kebenaran polis merentas daerah.
“Langkah itu diambil bagi memastikan semua penumpang mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak lima SJR dilakukan di daerah ini pada sepanjang PKP.
Jelasnya, tiga SJR yang telah dijalankan sepanjang PKP Bersyarart (PKPB) sebelum ini dan dua lagi SJR ditambah pada PKP ini.
“Lima SJR tersebut adalah di Plaza Tol Alor Setar Selatan, Plaza Tol Alor Setar Utara, Kepala Batas, Batas Paip di Jalan Kuala Kedah-Yan dan Kota Sarang Semut,” jelasnya.
Menurut beliau, seramai 176 anggota polis dan tentera akan bertugas secara syif di lima SJR tersebut pada PKP kali ini.
“Setiap satu SJR akan dianggotai tujuh anggota iaitu seramai lima anggota polis dan dua anggota tentera,” katanya. – UTUSAN ONLINE