KUANTAN: Kerajaan diminta menyegerakan program usahawan bimbingan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Pemohon program itu, Rafiq Izzarul Rosdi, 25, berkata, dia melihat iklan tentang program Penjana ECER pada bulan Oktober dan Disember lalu.
“Saya telah membuat permohonan program Penjana ECER melalui Universiti Malaysia Pahang (UMP), namun, sehingga kini tiada maklum balas diterima.
“Pernah saya menghubungi pihak UMP bertanya status program ini tetapi agak kecewa kerana pihak mereka sendiri tidak pasti bila program ini akan dijalankan.
“Persoalan yang bermain di minda saya, adakah program Penjana ECER benar-benar ada, melalui peruntukan yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan atau hanya diumum untuk paparan sahaja?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rafiq Izzarul berkata, dia yang terkesan sejak diberhentikan kerja sewaktu Covid-19 melanda berharap program latihan yang memberikan peluang pekerjaan itu dapat diadakan lebih meluas dan terbuka.
“Mohon pemimpin dan pihak kerajaan melihat agenda ini dengan lebih serius,” katanya.
Wakil industri (Kerteh), Ramzan Ahmad berkata, pada Oktober dan November lalu, sebuah syarikat industri minyak dan gas didatangi beberapa wakil penyedia latihan dengan membawa proposal di bawah program Penjana ECER untuk menempatkan peserta bagi tujuan penempatan pekerjaan.
“Kami sedia maklum Penjana adalah satu program yang telah diperkenalkan kerajaan untuk membantu masyarakat akibat Covid-19. Kami menyokong program ini, cumanya, sehingga kini masih tiada makluman rasmi berhubung status program.
“Kelewatan dalam pelaksanaan program ini menjejaskan proses di lapangan Industri dan ianya memberi kesan kepada kontrak kami juga,” katanya. -UTUSAN ONLINE