Penipuan pinjaman tidak wujud meningkat sejak PKP  - Utusan Malaysia

Penipuan pinjaman tidak wujud meningkat sejak PKP 

MUHAMMAD YAZID MUHAMMAD YEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penipuan pinjaman tidak wujud di negeri ini mencatatkan peningkatan ketara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua apabila statistik menunjukkan jumlah kerugian mencecah lebih setengah juta.

Statistik menunjukkan sebanyak 51 kes dilaporkan dengan melibatkan kerugian berjumlah RM617,758 sejak 13 Januari sehingga kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah kes itu mencatatkan peningkatan sebanyak 24 peratus iaitu 41 kes dengan nilai kerugian RM547,686 dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sindiket penipuan itu dikenal pasti menggunakan pelbagai medium media sosial untuk memperdayakan mangsa terdiri dalam kalangan peniaga dengan menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang kompetitif berbanding institusi kewangan berdaftar.

“Mangsa yang berminat kemudian diarah membuat bayaran wang proses terlebih dulu sebelum mendapat pinjaman yang dipohon.

“Namun, selepas pembayaran dibuat, sindiket ini terus gagal dihubungi dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Yazid berkata, setakat ini pihaknya berjaya menyelesaikan 31 kes berkenaan dengan tertangkapnya seramai 14 individu.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berurusan membuat pinjaman wang terutama secara dalam talian.

“Semakan perlu dibuat menerusi institusi kewangan berdaftar yang menawarkan pakej pinjaman sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. Langkah ini penting bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan tersebut.

“Orang ramai boleh membuat semakan menerusi aplikasi SemakMule CCID atau melayari laman sesawang www.cid.rmp.gov.my bagi urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN