Peniaga, penjaja Pulau Pinang bakal terima bantuan  - Utusan Malaysia

Peniaga, penjaja Pulau Pinang bakal terima bantuan 

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 14,712 peniaga berdaftar akan menerima manfaat Pakej Bantuan Fasa 3.0 daripada kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM7.35 juta. 

Pengerusi Jawatankuaasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, bantuan khas kewangan one-off RM500 itu akan disalurkan kepada peniaga dan penjaja berlesen serta penjaja atau penggerai yang berniaga dalam kompleks makanan/kedai persendirian. 

“Bantuan juga disalurkan kepada penjaja atau penggerai yang mempunyai tagging serta berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Bantuan ini diharapkan dapat melancarkan aliran tunai serta mengurangkan impak serta kos operasi yang terpaksa ditanggung dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang akhbar menerusi siaran langsung Facebook di sini hari ini. 

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kumpulan sasaran dan mengumumkan bahawa sebanyak RM10 juta akan diagihkan kepada lima  kumpulan sasar. 

Menurut beliau, bantuan dengan nilai yang sama (RM500 secara one off) turut disalurkan kepada pengusaha perkhidmatan gunting rambut atau salun rambut; perkhidmatan salun kecantikan dan spa; perkhidmatan pusat refleksologi dan bekam. 

“Bagi kategori ini, seramai 2,929 pengusaha berdaftar dan berlesen telah dikenal pasti dan layak untuk menerima manfaat dan dianggarkan sejumlah RM1.46 juta diperuntukkan bagi kategori ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menyediakan Portal Bantuan Tunai Penjaja 3.0 (PBT) untuk memudahkan pengagihan Pakej Bantuan 3.0 daripada kerajaan negeri. 

Katanya, portal berkenaan akan memudahkan pengumpulan maklumat akaun bank penjaja yang berdaftar dengan PBT dan juga membantu penyaluran bantuan kepada penjaja. 

“Semua penjaja dan peniaga, perlu membuat pengesahan butiran perniagaan, maklumat individu serta menyertakan maklumat akaun bank untuk tujuan penyaluran bantuan. 

“Permohonan boleh mula dibuat mulai 25 Januari melalui portal PBT dan tarikh tutup permohonan adalah pada 26 Februari depan,” katanya. 

Tambah beliau, bayaran Pakej Bantuan Fasa 3.0 ini akan dilaksanakan mulai 29 Januari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN