Peniaga pasar terkesan PKP di Johor dilanjutkan 4 Februari

Peniaga pasar terkesan PKP dilanjutkan

Harga ikan di seluruh negara naik sedikit berbanding tempoh sama pada tahun lalu. - FOTO/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan di negeri ini sehingga 4 Februari depan memberi kesan kepada golongan peniaga pasar tani sehingga menjejaskan pendapatan harian mereka.

Nasib mereka tidaklah sebaik pengusaha premis makanan, restoran dan perkhidmatan penghantaran yang dibenarkan operasi dilanjutkan sehingga 10 malam mulai semalam apabila masa operasi tidak berubah iaitu beroperasi dari 7 pagi hingga 2 petang.

Tinjauan yang dibuat di pasar tani di Larkin, di sini mendapati rata-rata peniaga mengeluh dengan waktu operasi mereka dibenarkan berniaga yang dilihat terlalu singkat.

Menurut peniaga, Azmi Abu Bakar, 47, kesan yang dialami amat ketara lebih-lebih lagi jumlah pengunjung yang masuk ke kawasan pasar dihadkan dan dibuat secara berperingkat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dilakukan.

Katanya, sekatan masa ini juga membuatkan pelanggan berkira-kira untuk ke sini tambahan pula mereka diberikan masa 15 minit sahaja untuk berada di dalam kawasan ini bagi membuat pembelian.

“Sejak PKP kembali dilaksanakan di negeri ini, hasil jualan turut terjejas apabila berkurangan berbanding sebelumnya. Jika sebelum ini mampu meraih hasil jualan lebih RM1,000 sehari, kini ia makin berkurangan setelah masa operasi turut dipendekkan sehingga pukul 2 petang sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi menampung hasil jualan yang menyusut, Azmi memberitahu dia turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ikan laut dalam termasuk sotong dan udang ke pintu rumah buat pelanggan yang tidak berkesempatan untuk ke pasar.

Peniaga, Rosdi Abu Bakar, 50, pula berkata, dia tidak ada pilihan selain akur dengan keputusan yang dibuat pihak kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Katanya, disebabkan tempoh PKP dilanjutkan lagi, dia tidak mahu menanggung risiko dengan mengambil sayur-sayuran dalam jumlah yang besar bagi meminimakan jumlah kerugian ditanggung disebabkan kuasa membeli yang berkurangan.

“Disebabkan masa yang pendek, saya pun tidak ambil banyak sayur-sayuran, ambil cukup-cukup untuk mampu dijual sahaja. Itu pun banyak juga yang dibuang kerana tidak boleh simpan lama.

“Jika sebelum ini pendapatan pun sudah berkurangan, apatah lagi bila beroperasi hingga pukul 2 petang sahaja, pastinya lagi berkurangan. Sepanjang PKP ini, hasil jualan kasar tidak sampai RM250, itu pun belum tolak kos modal lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya