JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barang terutamanya ketika musim banjir yang masih melanda negeri ini ketika ini.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berkaitan harga dan juga bekalan.
“Anggota Penguatkuasa KPDNHEP di negeri ini seramai 200 orang akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan asas dan harian adalah mencukupi bagi rakyat Johor.
“Kita telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hairul, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah untuk diperoleh setakat ini.
“Bekalan barangan keperluan asas mencukupi di semua peringkat sama ada pengilang, pemborong dan peruncit,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, sebanyak 367 premis telah diperiksa KPDNHEP Johor membabitkan seramai 267 peruncit, 85 pemborong dan 15 pengilang di seluruh negeri bermula 1 Januari lalu.
“KPDNHEP Johor juga mendapati tiada berlaku kenaikan harga ke atas barangan keperluan asas sepanjang pemeriksaan dijalankan.
“Sehubungan itu, kami menasihati orang ramai agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak membeli barangan secara berlebihan,” ujarnya.
Para pengguna juga dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat kesihatan yang ditekankan terutama ketika keluar mendapatkan barangan keperluan harian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga boleh dibuat melalui talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); Call centre 1800 886 800 atau Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-8882 6245/6088.
Manakala, aduan melalui aplikasi Whatsapp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; emel [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP di seluruh negeri. -UTUSAN ONLINE