Pengusaha pusat hiburan berdegil, beroperasi semasa PKPP  - Utusan Malaysia

Pengusaha pusat hiburan berdegil, beroperasi semasa PKPP 

HASANUDDIN Hassan menyematkan pangkat kepada pegawai yang dinaikkan pangkat pada Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar hari ini.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengusaha premis hiburan di negeri ini didapati masih berdegil apabila tetap beroperasi dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) walaupun penularan wabak Covid-19 semakin meningkat ketika ini.

Aktiviti premis hiburan itu terbongkar selepas polis menggempur tiga premis berkenaan iaitu dua di Langkawi dan satu di Kuala Kedah serta menahan 53 individu selepas gagal mematuhi SOP tersebut pada malam tahun baharu lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tiga pemilik premis berkenaan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah 1997 sementara mereka yang ditahan dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Terdapat larangan untuk premis hiburan dibuka tetapi mereka buka dan ada juga pengunjung semata-mata nak berhibur.

“Kita minta kerjasama semua pihak agar patuhi semua peraturan yang disarankan oleh kerajaan. Pihak polis akan terus buat pemerhatian di bumi Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Hasanuddin turut menyematkan pangkat kepada enam pegawai yang dinaikkan pangkat daripada Inspektor kepada Asisten Superintenden Polis dan menyampaikan surat penghargaan kepada anggota yang cemerlang.

Selain itu, beliau memberitahu, polis Kedah turut mengeluarkan sebanyak 2,772 kompaun kepada individu yang gagal mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan PKPP dari 10 Jun hingga 31 Disember tahun lepas.

Jelasnya, jumlah tersebut adalah tertinggi berbanding 344 kompaun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 3 Mei dan 211 kompaun ketika PKPB dari 4 Mei hingga 9 Jun.

“Kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial. Kita minta kerjasama semua pihak mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, Kedah mencatatkan penurunan sebanyak 26.48 peratus kadar jenayah sepanjang tahun lepas.

“Ranking Kedah kini jatuh ke tempat ketujuh dan ia satu kejayaan besar dan semua pihak memainkan peranan untuk kekang jenayah di Kedah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya